KUALA LUMPUR: Pembinaan jambatan baharu Sungai Limbang dan Jalan Lawas-Merapok di Bahagian Limbang, Sarawak, dengan kos RM115 juta ialah antara 52 projek baharu yang diluluskan untuk tahun 2021.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) selaku peneraju pembangunan infra dan sektor pembinaan amat komited dalam memastikan infra menjadi pemangkin kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Bertemakan ‘Teguh Kita, Menang Bersama’ Belanjawan 2021 memperlihatkan hasrat kerajaan dalam menjamin Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Perniagaan dan Ketahanan Ekonomi bagi menghadapi ketidaktentuan akibat pandemik yang melanda negara ketika ini, katanya semasa menggulung perbahasan Belanjawan 2021 Negara pada persidangan Dewan Rakyat di sini.
Beliau berkata, kelulusan peruntukan juga diberikan kepada KKR bagi pelaksanaan program penggantian jambatan usang dan sempit di seluruh negara yang melibatkan 14 bilangan projek baharu dengan kos projek keseluruhan sebanyak RM226.1 juta.
Belanjawan 2021 menyaksikan komitmen kerajaan dalam meneruskan pelaksanaan projek Lebuh raya Pan Borneo Sarawak dan Sabah, katanya sambil menambah, pelaksanaan Projek Lebuh raya Pan Borneo ialah sebahagian lima daripada pemangkin pembangunan sektor sosioekonomi, perindustrian serta pelaburan di sepanjang jajaran projek tersebut.
Fadillah berkata, kesinambungan projek itu juga akan menjamin dan memastikan peluang pekerjaan bagi penduduk khususnya di dalam keadaan ekonomi yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.
“Ini juga secara langsung membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat Sabah dan Sarawak dapat menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih baik di masa akan datang. KKR akan mempercepatkan pelaksanaan projek Lebuh raya Pan Borneo dengan melantik Project Management Consultant (PMC) untuk membantu JKR Sabah dan Sarawak.
“Bagaimanapun, pelantikan PMC ini masih lagi dalam peringkat rundingan dan perlu menunggu keputusan muktamad daripada Kementerian Kewangan,” tambahnya.
Sumber dari : Jiwa Bakti