DISEMBER 2020

Pusat Pemprosesan Dibina, Pasarkan Produk Tani


LAWAS: Kerajaan Sarawak memperuntukkan lebih RM8.2 juta untuk membantu petani, penternak termasuk nelayan meningkatkan hasil pendapatan mereka.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, di kawasan Trusan sahaja, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM1.7 juta untuk golongan tersebut.

"Gunakan peruntukan yang disediakan ini untuk meningkatkan hasil pendapatan yang merupakan sumber rezeki kepada golongan ini,” katanya semasa Program Jangkauan Pengembangan Komuniti Pertanian (AgriCOP), di sini hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, mengingatkan petani, penternak dan nelayan supaya memanfaatkan teknologi yang ada pada masa ini.

"Selain meningkatkan hasil produktiviti, teknologi yang ada ini dapat meringankan kerja mereka.

"Menerusi teknologi ini juga, mereka dapat menghasilkan benih yang baik menerusi kaedah penyelidikan dan pembangunan (R&D)," katanya sambil menambah, masyarakat perlu peka terhadap perkembangan teknologi dan mengaplikasikan kemudahan tersebut dalam menjalankan kegiatan ekonomi.

Katanya, bagi yang tiada pengetahuan dalam menggunakan teknologi, Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) dan agensi lain terus membantu dan berkongsi maklumat.

Awang Tengah berkata, kerajaan menerusi JPS turut membina Pusat Pengumpulan Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) di Lawas, bagi memasarkan produk pertanian, penternakan dan perikanan di kawasan tersebut.

Katanya, projek ini masih dalam pembinaan dan beliau berharap agar projek ini dapat beroperasi pada tahun depan.

"Pusat CPPC ini bertujuan mengumpul dan memproses hasil pertanian dan selebihnya akan dijual secara mentah," katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti