MAC 2020

Kabinet Baharu Platform Pemimpin GPS Kemukakan Masalah Rakyat


DARO: Kehadiran lebih ramai anak Sarawak dalam barisan kabinet baharu menyediakan ruang kepada pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk bersuara dalam memperjuangkan hak rakyat negeri ini.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, kerajaan yang baharu dibentuk itu menjadi platform lebih mudah kepada beliau dan pemimpin lain untuk menyuarakan masalah rakyat.

“Kita akan meneruskan perjuangan selepas berlaku perubahan kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Majlis hari ini sememangnya amat makna bagi saya. Inilah pertama kalinya saya hadir sebagai wakil rakyat kerajaan di peringkat Persekutuan.

"Kita sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan yang akan meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat," katanya ketika hadir pada Majlis Penyerahan Tapak Cadangan Menaiktaraf Jalan Bawang Assan, Tanjung Manis, Sungai Ilas, Kampung Sebena (Fasa II) Daerah Meradong, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Daro, Safiee Ahmad.

Justeru, Ahmad Johnie menggesa rakyat agar terus memberikan sokongan dan kerjasama agar perancangan pembangunan kerajaan dapat diteruskan.

Menurutnya, perjuangan membela rakyat di kawasan Parlimen Igan tidak akan ada titik noktahnya.

"Sebagai wakil rakyat di kawasan pesisir, saya sedar masih ramai rakyat di kawasan ini (Igan) memerlukan pembangunan. Justeru, apa yang kita perjuangkan sebelum ini akan diteruskan.

Sehubungan itu beliau berharap projek-projek di kawasan Igan yang dibatalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini dikembali dan diluluskan semula.

"Sehubungan itu, saya mahu rakyat terus memberikan sokongan kepada kerajaan GPS kerana banyak agenda pembangunan akan kita laksanakan.

"Kita juga harus bersatu menolak sebarang dakyah yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti