JULAI 2020

“Kamek Nak Ngucap Selamat Ari Sarawak” - Muhyiddin


KUALA LUMPUR: Sarawak adalah antara negeri yang sentiasa diberi keutamaan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam program pembangunan bagi merapatkan jurang ekonomi antara wilayah di negeri itu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu selaras dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang membangun secara mampan.

"Bagi mencapai matlamat, ia memerlukan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif dalam semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik dan wilayah," katanya menerusi akaun Facebook beliau sempena Sambutan Hari Sarawak, hari ini.

Muhyiddin berkata, perpaduan nasional adalah elemen penting dalam melahirkan sebuah negara yang aman dan stabil.

"Usaha untuk menyatupadukan rakyat menerusi pengukuhan integrasi kaum di negara ini telah dimulakan sejak sekian lama.

"Dalam konteks Sarawak, Kerajaan PN komited untuk meneruskan agenda ini bagi memastikan pembangunan dan kemajuan Bumi Kenyalang ini dilaksanakan," katanya.

Mengenai Hari Sarawak pada hari ini, beliau berkata, ia merupakan hari bersejarah Sarawak untuk mengingati jasa dan pengorbanan pemimpin serta pejuang kemerdekaan di negeri Sarawak.

Muhyiddin turut meraikan Sambutan Hari Sarawak bersama Ahli-Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diadakan semasa jamuan tengah hari di Parlimen.

Justeru, sempena Hari Sarawak, beliau mengucapkan Selamat Hari Sarawak kepada penduduk negeri Sarawak.

"Kamek nak ngucap Selamat Ari Sarawak kepada semua penduduk negeri Sarawak," katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti