JULAI 2020

Stesen TV Sarawak Bakal Beroperasi Hujung Tahun


MIRI: Sarawak bakal memiliki stesen tv sendiri, TV Sarawak menjelang akhir tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya, jika berjalan lancar, TV Sarawak akan memulakan percubaan teknikalnya kerana Sarawak diberi lesen 10 tahun oleh Kementerian Multimedia dan Komunikasi untuk mengendalikan stesen televisyen berpusat di Kuching.

Menurut Abang Johari, stesen televisyen itu dikenalikan oleh syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) Sarawak iaitu Sarawak Media Group (SMG).

“SMG akan menguruskan stesen televisyen itu dan menyediakan perkhidmatan penyiaran sebagai saluran bebas ke udara, penerbitan dalam talian dan perkhidmatan penyediaan maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena sambutan Hari Sarawak bertemakan 'Sarawak Cemerlang' di Hotel Pullman di sini, semalam.

Sambutan dihadiri 250 tetamu itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin merangkap menteri bertanggungjawab sambutan Hari Sarawak 2020 dan menteri-menteri kabinet negeri yang lain.

Sehubungan itu, Ketua Menteri mahu semua pemain industri kreatif tempatan di negeri ini, merebut peluang itu, selepas TV Sarawak beroperasi sepenuhnya kelak.

"Insya Allah, dalam waktu terdekat ini, kita akan dapat menyediakan platform untuk peminat industri kreatif kita, mempamerkan dan hasil karya mereka.

"Jika semua berjalan lancar, TV Sarawak akan memulakan percubaan teknikalnya pada hujung tahun,” katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti