OKTOBER 2020

Keindahan Kapit Tarikan Penggambaran Drama


KAPIT: Jika negara Korea popular dengan keindahan Sonata, bahagian Kapit pula mempunyai banyak pemandangan indah dan berpotensi untuk dibangunkan untuk pelancongan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pemandangan berbukit bukau yang indah di sepanjang Song ke Kapit amat menakjubkan.

“Kalau kita buat drama dengan berlatar belakang pemandangan Kapit, ramai orang akan datang. Saya melihat kapit mempunyai banyak potensi pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Bersama Rakyat di Dewan Suarah Kapit, malam tadi. 

Ketua Menteri menyampaikan surat pelantikan kepada seramai 52  ketua masyarakat dari Bahagian Kapit.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, Kapit kini bukan lagi sebagai bahagian yang terpencil dengan pembinaan Jalan Sibu/Kanowit/Song/Kapit sepanjang 110 kilometer (km).

Kapit akan menjadi tumpuan pelancong asing dan domestik dengan adanya rangkaian projek jalan raya.

“Ya, sudah pasti ramai yang datang ke Kapit dengan adanya jalan raya yang menghubungkan Kapit dengan Sibu.

“Saya mengucapkan tahniah kepada wakil rakyat di sini kerana telah bekerja keras mendapatkan projek jalan tersebut,” jelasnya.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta yang lain.

Sumber dari : Jiwa Bakti