OKTOBER 2020

Sumber Empangan Hidroelektrik Jana Pendapatan Negeri


KAPIT: Kerajaan Sarawak akan menjadikan sumber air dari Empangan Hidroelektrik (HEP) yang ada untuk membangunkan beberapa produk yang berpotensi untuk menyumbang kepada pendapatan negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, HEP bukan sahaja menghasilkan tenaga kuasa elektrik sahaja, malah kuasa hidrogen yang boleh dipasarkan.

Menurutnya, terdapat sebuah syarikat dari luar negara yang ingin melabur dalam menghasilkan kuasa hidrogen, dan negara terbabit juga bersedia menjadi pembeli kuasa hidrogen tersebut.

“Air daripada empangan ini sesuai diekstrak untuk dijadikan hidrogen, begitu juga dengan HEP Baleh. Kini bukan sahaja kenderaan sudah ada menggunakan hidrogen, malah terdapat kapal terbang menggunakannya,” katanya.

Beliau berkata  demikian semasa lawatan kerja ke Jambatan Sungai Mujong, di sini hari ini.

Abang Johari juga memberitahu, Kerajaan Sarawak akan menaik taraf Mahkamah Bumiputera agar setanding dengan Mahkamah Sivil.

“Kita mencari pakar perundangan dan evolusi undang-undang adat yang diguna pakai selama ini. Kalau ada masalah melibatkan orang Bumiputera terutamanya masyarakat Dayak, kita ada Mahkamah Bumiputera dan kerajaan tidak boleh masuk campur,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari menyifatkan Jambatan Nanga Mujong menjadi ikonik perpaduan di Bahagian Kapit.

“Kabel-kabel yang menghubungkan jambatan ini melambangkan rakyat saling menyokong antara satu sama lain untuk membangunkan Sarawak,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta yang lain.

Sumber dari : Jiwa Bakti