MEI 2020

Kenyataan Media - Dato’ Sri Hj Fadillah Hj Yusof


Penghargaan dan terimakasih Kerajaan Persekutuan khususnya YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia, di atas keprihatinan beliau terhadap rakyat dan negeri Sarawak, berhubung persetujuan penyelesaian dalam rundingan mengenai urusan minyak dan gas serta cukai jualan ke atas produk petroleum di Sarawak di antara Kerajaan Negeri Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

Perlantikan saya, mewakili Sarawak, sebagai Pengerusi bersama dengan Menteri Kewangan dalam proses rundingan berkenaan adalah satu mandat dan amanah yang akan saya laksanakan dengan penuh tanggungjawab demi kebaikan bersama.

Seperti diumumkan Perdana Menteri penyelesaian tersebut akan memberi ruang kepada Kerajaan Negeri Sarawak untuk penglibatan bersama dalam pembangunan industri minyak dan gas bersama PETRONAS di negeri berkenaan, tanpa mengubah peranan PETRONAS sebagai syarikat minyak negara. Ini adalah berita baik yang amat ditunggu-tunggu oleh rakyat Sarawak, selari dengan hak-hak Sarawak seperti termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Persetujuan penyelesaian secara rundingan itu juga adalah titik pertemuan yang dicapai melalui kesepakatan dan hubungan baik pucuk kepimpinan kedua-dua peringkat, Perdana Menteri di peringkat Persekutuan dengan kerajaan negeri Sarawak pimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Openg.

Ia juga adalah manifestasi betapa Kerajaan yang memerintah negara ketika ini, baik di peringkat Persekutuan, mahupun di peringkat negeri Sarawak sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Dato’ Sri Hj Fadillah Hj Yusof Menteri Kanan Kerja Raya
8 Mei 2020

Sumber dari : FB - Fadillah Yusof