KUCHING: Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 3.0 akan melibatkan suntikan dana berjumlah RM0.30 bilion (RM300 juta) kepada ekonomi Sarawak, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Menurut Ketua Menteri, suntikan dana ini merupakan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sepenuhnya.
Secara keseluruhan, kata Ketua Menteri jumlah suntikan dana kepada ekonomi Sarawak melalui Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 2020 adalah berjumlah RM2.56 bilion iaitu melalui:
(1) BKSS 1.0 berjumlah RM1.15 bilion;
(2) BKSS 2.0 berjumlah RM1.11 bilion; dan
(3) BKSS 3.0 berjumlah RM0.29 bilion.
Bercakap semasa sidang media di sini, Abang Johari berkata tujuh langkah tambahan yang lebih inklusif untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat di Sarawak menerusi BKKS 3.0.
Langkah itu adalah:
1: Insentif untuk ketua isi rumah B40 termasuk bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan RM2,000 sebulan dan ke bawah
Menerusi insentif ini, katanya kerajaan Sarawak akan menyalurkan bantuan pembayaran secara tunai sebanyak RM1,500 kepada anggaran 30,000 Ketua Isi Rumah (KIR) yang sebelum ini tidak tersenarai di bawah BKSS 1.0.
“Saya mengumumkan bahawa kerajaan Sarawak akan memberi bayaran tunai secara one-off iaitu sekali sebanyak RM500 kepada 377,806 individu bujang yang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan.
Langkah ini dijangka akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sebanyak RM234.0 juta, kata Abang Johari.
2: Tambahan geran khas RM750 kepada penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan melalui Sarawak Pay
Katanya, dengan tambahan ini, setiap penjaja dan peniaga kecil akan menerima secara keseluruhannya sejumlah RM2,250 melalui geran ini, membabitkan perbelanjaan sebanyak RM48.75 juta.
3: Elaun bulanan khas petugas barisan hadapan yang menangani Covid-19 sejumlah RM200 kepada anggota Kastam yang menjalankan tugas di semua pintu masuk sempadan, pelabuhan dan lapangan terbang di seluruh Sarawak; kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan yang membantu melaksanakan tugas perkhidmatan kecemasan, kerja-kerja pemeriksaan dan sanitasi di seluruh Sarawak; anggota Bomba menjalankan perkhidmatan kecemasan dan kerja-kerja sanitasi, khususnya di kawasan berisiko tinggi; dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang membantu pihak PDRM dan ATM dalam memastikan pelaksanaan PKP dipatuhi sepenuhnya.
Bantuan ini membabitkan perbelanjaan RM3.2 juta.
4:Insentif untuk pemilik dan pengendali penambang berdaftar dengan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSSS), bantuan secara tunai one off RM500.
Seramai 199 pemilik dan pengendali penambang mendapat bantuan ini. Ini melibatkan sebanyak RM99,500.
5: Insentif untuk pengendali van penumpang, pemandu teksi, pengendali bas dan vas sekolah berdaftar menerima bantuan secara one-off RM600, membabitkan perbelanjaan RM2.20 juta.
6: Geran khas pemandu pelancong dan pemandu pelancong taman negara berlesen secara one-off iaitu RM1,500 membabitkan perbelanjaan sebanyak RM387,000.
7: Perkhidmatan cawangan bank bergerak BSN dilengkapi mesin ATM meps ke luar bandar membabitkan peruntukan RM1.6 juta sebagai perbelanjaan modal kepada BSN.
“Sukacita saya mengumumkan bantuan one-off RM1,500 kepada ahli-ahli media (anggaran 500 ahli) untuk menghargai sumbangan media,” katanya.
Sehubungan itu, Abang Johari berharap Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang 3.0 dapat meringankan beban kewangan rakyat dan para peniaga yang terkesan akibat wabak ini.
“Dalam keadaan yang sukar sekarang ini, saya juga berharap bantuan ini dapat membantu memulihkan ekonomi kita dan dapat menyediakan landasan yang kukuh untuk terus makmur pada masa hadapan,” katanya.
Sumber dari : Jiwa Bakti