KUCHING: Kerajaan Sarawak sentiasa bersikap konsisten dan tetap bersuara mengenai pendiriannya berkaitan kebebasan beragama dan perpaduan selama ini serta keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini.
Buktinya pelbagai kenyataan telah dibuat oleh pucuk kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkaitan perkara itu sejak kebelakangan ini dan beberapa tahun lalu, kata Kelab Penyokong GPS di sini.
Kelab Penyokong GPS berkata demikian sebagai merujuk kenyataan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Dato Sri Wong Soon Koh yang mendakwa Kerajaan Sarawak pimpinan GPS bersikap berdiam diri ke atas cadangan Putrajaya untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang membenarkan penganut agama Kristian menggunakan kalimah Allah dalam pendidikan agama dan risalah mereka.
Sekiranya Dato Sri Wong membaca sepenuhnya berita minggu lalu di sebalik hanya dengan apa yang dikatakan, beliau akan mendapat gambaran sebenarnya keputusan yang diambil oleh GPS.
Dato Sri Wong berada dalam Kabinet Negeri terdahulu dan mengetahui sepenuhnya pendirian Kerajaan Sarawak berkaitan isu berkenaan. Apa yang beliau lakukan hanyalah mahu mempolitikkan isu terbabit dengan menggunakannya untuk kepentingan politik.
Seperti yang pernah dinyatakan oleh beliau, isu itu berbangkit sejak zaman Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem. Kenapa Dato Sri Wong tidak bertanya kepada anggota majlis presiden PSB, Baru Bian apabila berada dalam Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya dari 2018 hingga 2019 untuk menangani isu berkenaan.
Kelab Penyokong GPS dalam kenyataannya berkata, GPS akan meneruskan perjuangan Allahyarham Pehin Sri Adenan yang menjunjung kebebasan beragama melalui pendiriannya membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan, gereja dan sembahyang mereka.
Perkara itu disokong oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang kerap bercakap mengenai isu berkenaan dan mengutuk pentaksub agama sambil menyifatkan kumpulan itu tidak mempunyai tempat di Sarawak.
Rakyat di Sabah dan Sarawak, tanpa mengira agama bebas menggunakan kalimah Allah dan tiada sekatan untuk menggunakannya – sama ada di bawah Undang-undang Negeri atau Undang-undang Persekutuan.
Konsep bertolak ansur dalam agama, bersifat inklusif dan kebebasan beragama yang diamalkan dalam pelbagai dasar kerajaan dan pembuat keputusan di peringkat eksekutif berjaya membuahkan pelbagai program – salah satu daripadanya ialah penubuhan Unit Hal Ehwal Agama Lain (UNIFOR) di bawah Jabatan Ketua Menteri.
Melalui UNIFOR – satu-satunya di Malaysia, pelbagai bantuan diberikan kepada kumpulan agama dalam bentuk geran untuk menjayakan aktiviti mereka dan untuk membina atau membaik pulih rumah ibadah.
GPS mempersoalkan Dato Sri Wong: Adakah pembangkang termasuk Kerajaan PH berjuang untuk mendapatkan lebih banyak peruntukan untuk tujuan keagamaan di Sarawak?
GPS berharap isu itu tidak dipolitikkan, dieksploitasi dan diapi-apikan oleh ahli politik yang menangguk di air yang keruh serta penyokong masing-masing semata-mata mahu mengambil kesempatan daripada keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi.
GPS akan terus berjuang dan mempertahankan hak Sarawak – termasuk kebebasan beragama – sejajar dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Persekutuan dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.
Sumber dari : Jiwa Bakti