MAC 2021

Agenda Transformasi Ekonomi Digital Utamakan Kesamarataan Hak Penduduk


KUCHING: Agenda Transformasi Ekonomi Digital Sarawak menjelang tahun 2030 dirangka dengan memberi hak saksama kepada penduduk di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, menerusi agenda mentransformasi Sarawak ke arah ekonomi digital, setiap peranan masyarakat akan dinilai berdasarkan merit atau kebolehan mereka.

"Apabila kita mengubah ekonomi kita berdasarkan ekonomi digital, ia akan memberi peluang yang sama kepada semua rakyat terutama bagi mereka yang terlibat dalam pendekatan ekonomi baharu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2021 secara maya, di sini, hari ini.

Abang Johari menjelaskan, digitalisasi tidak terikat dengan jantina kerana teknologi tersebut dapat dikuasai oleh pelbagai lapisan masyarakat yang mempunyai kemahiran.

Tambahnya, setiap individu yang menguasai teknologi baharu pada masa kini juga akan lebih maju ke hadapan. 

"Ini dapat dilihat di Silicon Valley apabila kebanyakan syarikat berteknologi besar dipimpin oleh golongan wanita.

"Bahkan semalam, semasa dalam taklimat kerja saya di Limbang, jurutera yang memberi taklimat tersebut juga seorang wanita," katanya.

Beliau menambah, peluang turut diberikan kepada rakyat yang mempunyai latar belakang dan pengetahuan terkini dalam membuat keputusan dengan sewajarnya kerana mereka berpotensi untuk mengubah masa depan Sarawak.

Turut hadir, isteri Ketua Menteri, Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus dan ahli kenamaan yang lain.

Sumber dari : Jiwa Bakti