MEI 2021

Kerajaan GPS Lakukan Terbaik, Bantuan Disalur Ringankan Beban Rakyat


KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS)  telah melakukan yang terbaik untuk rakyatnya ketika negeri dan negara dilanda pandemik Covid-19. 

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, setakat Mei lalu, Kerajaan Sarawak membelanjakan sejumlah RM242 juta bagi menguruskan Covid-19, termasuk kos kuarantin, bekalan makanan, logistik, peralatan dan sebagainya.

“Ini tidak termasuk bantuan khas Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 1 hingga BKKS 5 sebanyak 

RM3 bilion untuk meringankan beban rakyat akibat pandemik ini. 

“Kerajaan GPS berusaha sedaya upaya untuk memastikan program imunisasi di Sarawak dapat berjalan lancar dan dijangkakan akan siap pada Ogos bagi 2.08 juta rakyat yang layak menerima vaksin. 

“Kerajaan Persekutuan telah memberi kelulusan kepada Kerajaan Sarawak untuk membuat perolehan vaksinnya sendiri di samping kelulusan untuk mewartakan hospital swasta sebagai pusat pemberian vaksin.

“Berani saya menyatakan bahawa tiada negeri yang memperuntukan bantuan khas sebanyak yang telah diperuntukkan di bawah BKSS 1 hingga 5 berjumlah RM2.6 bilion, tiada negeri yang menanggung kos kuarantin untuk rakyatnya dan tiada negeri yang membuat perolehan vaksinnya sendiri, hanya Sarawak,” ujarnya.

Sehubungan itu, Abang Johari mengajak rakyatnya merenung sejenak bahawa bukanlah mudah untuk membina perpaduan dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama tetapi Sarawak membuktikan mampu melakukannya. 

“Perpaduan dan keharmonian kaum dalam masyarakat majmuk tidak datang bergolek. 

“Kita harus bekerjasama ke arah perpaduan. Budaya hormat-menghormati adalah tonggak perpaduan kita di Sarawak,” jelasnya.

Katanya, dalam era Internet pada masa kini begitu mudah untuk menyalakan api perpecahan antara kaum dengan hantaran di media sosial yang tidak berasas. 

“Saya menasihat pengguna media sosial agar menggunakan platform media sosial untuk tujuan positif ke arah pembangunan Negeri Sarawak dan pengukuhan perpaduan rakyatnya.

“Sebagai pemimpin Kerajaan GPS yang inklusif dengan ikhlas saya menyeru kepada masyarakat Dayak sempena sambutan Gawai ini supaya berusaha ke arah perpaduan kaum Dayak seiring dengan masyarakat lain dalam mengejarkan impian untuk menjadi sebuah masyarakat yang maju dan progresif,” tegasnya.

Sumber dari : Jiwa Bakti