Ogos 2019

Kerajaan GPS Fokus Empat Agenda Utama Majukan Sarawak


KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memfokus empat teras utama agenda pembangunan untuk membawa Sarawak dan rakyat terus maju menjelang tahun 2030.

Teras utama itu ialah, melaksanakan cukai lima peratus ke atas produk petroleum, melaksanakan pembangunan infrastruktur, mengekalkan perpaduan dan mengambil alih projek yang tidak dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat.

Perkara itu dinyatakan Ketua Menteri di majlis pelancaran GPS Zon 2 N.9 Padungan, N.10 Pending, N.11 Batu Lintang, N.12 Kota Sentosa, N.13 Batu Kitang, N.14 Batu Kawah di Dewan Masyarakat Kampung Semeba, Batu Kitang, hari ini.

Menurut Abang Johari yang juga Pengerusi GPS, Sarawak membuat langkah berani dengan menubuhkan GPS yang merupakan satu gabungan parti yang dipimpin oleh ‘anak Sarawak’ sendiri dengan meletakkan agenda utama ialah membangunkan rakyat dan negeri.

“Dalam hal ini, GPS tidak berhadapan dengan masalah dan kita fokus kepada agenda pembangunan,” katanya.

Rakyat Sarawak berasa lebih aman dan mengecapi nikmat kemajuan di bawah GPS dan menegaskan, kerajaan GPS boleh mencari sumber pendapatan dan dengan pendapatan itu Sarawak boleh membangunkan negeri ini dengan cepat.

Beliau berkata, hanya orang Sarawak mengetahui budaya negeri ini dan benar-benar mahu meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat berbanding pemimpin luar yang hanya meninggalkan ‘air liur’ selepas melawat Sarawak.

“Percayalah kepada kerajaan GPS. Dalam masa lima hingga 10 tahun akan datang, Sarawak akan menjadi negeri yang membangun dengan mapan. Kami dalam GPS akan melaksanakan program pembangunan untuk mengubah taraf hidup rakyat,” tegas beliau.

Justeru, beliau mengajak rakyat supaya bergading bahu dan berjuang habis-habisan mempertahankan hak Sarawak.

Pengerusi GPS Zon 2 merangkap Pengerusi SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian yang berucap terdahulu berkata, rakyat Sarawak harus bersama-sama berjuang mempertahankan hak Sarawak dan mengelak daripada menjadi penonton ‘tengok sahaja’.

“Kita harus bersatupadu mempertahankan hak Sarawak dan jangan tengok sahaja,” katanya pada majlis yang dihadiri oleh lebih 3,000 ahli GPS itu.

Hadir sama Pengerusi Parti Rakyat Sarawak merangkap Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing, Naib Presiden Parti Progresif Demokratik (PDP), Datuk Anthony Nogeh, mewakili Presiden PDP, Dato Seri Tiong King Sing, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sumber dari: Jiwa Bakti