FEBRUARI 2021

Kerajaan Negeri Terus Bantu Usahawan PKS, Belia Pulih Perniagaan


KUCHING: Kerajaan Sarawak terus membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengemudi usaha pemulihan perniagaan mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia akan dilaksanakan menerusi lima pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) melibatkan peruntukan bernilai RM3.14 bilion.

"Pakej tersebut turut merangkumi bantuan kewangan tambahan sejumlah RM141.7 juta yang diluluskan Ketua Menteri baru-baru ini," katanya dalam Perutusan Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2021.

Awang Tengah menambah, pelbagai bantuan pinjaman kewangan disediakan bagi membantu usahawan-usahawan PKS di negeri ini.

Katanya, antara pinjaman yang disediakan ialah Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) sehingga RM50,000 diikuti Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar sehingga RM500,000 serta Pembiayaan Pelancongan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sehingga RM300,000.

"Bagi pengusaha B40, mereka akan menikmati sifar faedah untuk pinjaman sehingga RM10,000 yang kita laksanakan sejak tahun lalu menerusi pinjaman SKMS," katanya.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua berkata, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan kepada usahawan belia yang ingin memulakan perniagaan.

Beliau menggalakkan golongan usahawan muda terutama graduan dan lepasan sekolah untuk memohon geran menerusi Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV) serta Graduan Ke Arah Keusahawan (GERAK).

Bagi usahawan PKS yang ingin mengikuti pemasaran digital dan e-pembayaran juga disarankan memohon geran sehingga RM10,000 menerusi Program Go Digital, katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti