KUCHING: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM2.3 juta bagi membeli hasil pertanian daripada pekebun tempatan yang tidak terjual sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata daripada jumlah itu, RM1.5 juta diperuntukkan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK). RM600,000 diagihkan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan RM200,000 diberikan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
“PPK dan FAMA akan membeli hasil pertanian seperti sayu-sayuran daripada petani dan pekebun kerana terkesan ekoran PKP pandemik COVID-19.
“PPK dan FAMA juga akan mewujudkan pasar tani untuk menjual hasil tersebut kepada orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media COVID-19 Sarawak di Wisma Bapa Malaysia pada Rabu.
Datuk Amar Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah menambah sekiranya hasil pertanian terbabit tidak dapat dijual oleh PPK dan FAMA, ia boleh disumbang kepada masyarakat.
“Begitu juga dengan nelayan yang mengeluh hasil tangkapan ikan mereka yang tidak terjual dan ia dibeli oleh LKIM.
“LKIM akan menjualnya semula kepada masyarakat atau disimpan sejuk beku sekiranya tidak mendapat sambutan,” tambahnya.
Begitu juga dengan penoreh getah di negeri ini.
“Kita membeli getah daripada pekebun dengan harga 50 sen lebih tinggi daripada harga pasaran menjadikannya RM3 sekilo.
“Sekiranya harga getah di pasaran lebih tinggi daripada jumlah itu, pekebun mempunyai pilihan untuk menjualnya kepada kerjaan atau di pasaran,” ujarnya.
Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak