SIBU: Usahawan Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS), usahawan mikro, peniaga pasar malam dan penjaja perlu merebut peluang pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 2.0.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, BKSS 2.0 yang diumum Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bukti jelas keprihatian kerajaan Sarawak terhadap usahawan di negeri ini.
Semalam, Ketua Menteri mengumumkan peruntukan tambahan RM1.1 bilion bagi membantu meringankan beban kewangan usahawan yang terkesan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April ini.
Katanya, pelbagai insentif bagi membantu usahawan dari menanggung kadar faedah sehinggalah pemberian geran sebanyak RM1,500 kepada lebih 65,000 penjaja dan peniaga yang berdaftar dengan Kementerian Kerajaan Tempatan.
“Kerajaan Sarawak turut menyediakan kemudahan pinjaman tanpa faedah kepada usahawan sama ada melalui bank-bank yang terpilih dan agensi kerajaan.
“Ini bukti jelas keprihatian kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang berusaha gigih memastikan usahawan di negeri ini maju dalam bidang perniagaan,” jelasnya.
Sumber dari : Jiwa Bakti