JULAI 2020

Kerajaan Sarawak Terus Iktiraf Tanah NCR Milik Rakyat


SEMATAN: Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat ke atas tanah hak adat bumiputera (NCR) milik mereka.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan negeri juga sentiasa memastikan hak-hak pemilik tanah NCR dipelihara.

Jelas beliau, ini terbukti apabila pindaan Kanun Tanah Negeri baru-baru ini memberi kuasa perundangan kepada Native Territotial Domain bagi memastikan semua tanah yang mempunyai hak adat Bumiputera dan tanah-tanah yang terlibat dengan hak menggunapakai diiktiraf.

"Surat hak milik Seksyen 18 mempunyai keistimewaan seperti pemilik tanah tidak perlu membayar premium, cukai tanah dan lain-lain cukai yang terlibat serta tempoh pegangan adalah kekal," jelasnya semasa Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi Kampung Pueh, Sematan hari ini.

Hadir sama Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh, ADUN Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu dan Pegawai Daerah Lundu, Gustian Durani.

Dalam majlis tersebut, seramai 174 orang telah menerima surat hak milik tanah mereka di Kampung Pueh, Sematan.

Sementara itu, Datuk Amar Awang Tengah memberitahu, kerajaan Sarawak telah memperuntukan sebanyak RM40 juta bagi tujuan pengukuran tanah NCR pada tahun 2020.

Manakala ujarnya, kerajaan Persekutuan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yasin telah memperuntukkan dana sebanyak RM7.5 juta.

"Justeru, tuduhan bahawa penyukatan tanah di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri untuk merampas tanah adalah tidak berasas dan berunsur politik murahan.

"Ini disebabkan oleh pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sebagai rizab komunal bumiputera bagi mengenalpasti dan mengesahkan sempadan tanah NCR yang sahih serta didaftarkan di dalam daftar tanah.

"Sempadan yang jelas ini akan memudahkan pengukuran lot individu bagi pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kamun Tanah Negeri," katanya. - EDISI UKAS

Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak