KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM500 juta bagi projek menaik taraf bekalan air bersih di sekitar kawasan Kota Samarahan.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, projek tersebut dijangka siap pada akhir tahun 2021.
"Ini kerana, kita mendapati bahawa banyak keluhan penduduk di sekitar kawasan Simunjan, Sebuyau dan juga Kampung Sebangan berhubung masalah air di kawasan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media di Pusat Khidmat N.27 Sebuyau, selepas lawatan kerja projek bekalan air Kota Samarahan, di sini hari ini.
Abang Johari berkata, tiga tahun lalu kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan khas untuk menaik taraf bekalan air di kawasan ini dan kini saluran paip sedang dibina dari Kuching terus ke kawasan Simunjan, Gedong hingga ke Sebuyau.
"Sehubungan itu, peruntukan yang diberikan ini akan menyelesaikan masalah bekalan air dan penduduk di kawasan ini dapat menggunakan air selama 24 jam," katanya.
Beliau yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, melalui pelaksanaan projek bekalan air ini, ia mampu merancakkan ekonomi di kawasan ini khasnya pertanian.
"Ini kerana pertanian juga memerlukan air dan ini satu-satu infrastruktur yang kita bekalkan di luar bandar," katanya.
Abang Johari menjelaskan, kerajaan Sarawak melalui Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) menyediakan peruntukan bagi membina benteng laut di empat kawasan potensi pertanian di bahagian Samarahan.
"Pembinaan benteng ini juga akan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk sekitar berkenaan aktiviti pertanian yang mereka lakukan," katanya sambil menambah, ini akan memberi manfaat kepada tanaman yang memerlukan sumber air pokok kelapa, nanas dan pisang.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Utiliti Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi, Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian, Pembangunan Usahawan, Datuk Naroden Majais, Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan, Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, ADUN Sadong Jaya, Aidel Lariwoo serta pemimpin masyarakat dan ahli- ahli Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Sumber dari : Jiwa Bakti