JANUARI 2020

Kes Saman Kerajaan Sarawak Terhadap Petronas: Mahkamah Tinggi Kuching Tolak Permohonan Petronas Gugurkan Pesuruhjaya Kehakiman


KUCHING: Permohonan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk menggugurkan Pesuruhjaya Kehakiman, Christopher Chin Soo Yin daripada mengendalikan kes saman sivil kerajaan Sarawak dan Kontroler Cukai Jualan Negeri (SST) berhubung kegagalan Petronas membayar SST bagi produk petroleum di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998 telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi, pada Khamis.

Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri-Pusat dan Pemantauan Projek Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, tiada sebab untuk mengatakan Christopher memberi keputusan berat sebelah memandangkan beliau telah diberi amanah dan tanggungjawab besar dalam mendaulatkan undang-undang.

Sharifah Hasidah juga berpendapat tindakan Mahkamah Tinggi Kuching adalah ideal dan tepat kerana mengambil kira banyak faktor dalam menegakkan institusi undang-undang di negeri dan negara ini.

"Hari ini merupakan satu kejayaan buat Sarawak walaupun hanya secara teknikal dan beliau merasakan kebebasan badan kehakiman serta martabat perundangan akan dapat dikekalkan di Sarawak dan Malaysia," katanya selepas mendengar keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada Khamis.

Menurutnya lagi, segala keputusan Mahkamah akan diterima dan beliau berterima kasih kepada seluruh rakyat Sarawak yang selama ini menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam mempertahankan dan mengembalikan hak-hak Sarawak terutama di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)

"Perjuangan ini akan diteruskan atas nama Sarawak," katanya.

Sementara itu, Christopher memberitahu, beliau telah mengangkat sumpah untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang selain berpendapat Badan Kehakiman di Malaysia adalah bebas dan tidak mempunyai unsur berat sebelah.

Dalam pada itu, Mahkamah Tinggi Kuching turut mengarahkan Petronas untuk membayar kos guaman berjumlah RM50,000.

Peguam yang mewakili Petronas, Datuk Malik Imtiaz Sarwar pula menjelaskan, bahawa Petronas akan membuat rayuan dan permohonan semua prosiding kes tuntutan Sarawak terhadap Petronas untuk ditangguhkan. -Edisi UKAS

Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak