JANUARI 2020

Kerajaan GPS Mampu Kukuhkan Ekonomi Sarawak


KUCHING: Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi jaminan mampu mengukuhkan ekonomi negeri ini sekaligus menjadikan Sarawak negeri berdaya maju menjelang tahun 2030.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam perutusan Tahun Baharu Cina berkata, kerajaan sentiasa berusaha dan konsisten serta tegas dalam menggunakan sumber negeri untuk menjana lebih banyak pendapatan bagi menyediakan infrastruktur dan utiliti rakyat.

Menurutnya, dalam tempoh dua tahun lalu, banyak projek infrastruktur bernilai berbilion ringgit dilaksanakan di luar bandar untuk keselesaan rakyat.

“Apa yang kita lakukan ini merupakan komitmen kerajaan GPS bagi memastikan rakyat tanpa mengira kaum menikmati kemajuan seimbang.

“Pada masa sama, Sarawak sentiasa memastikan pertumbuhan ekonomi kukuh pada tahun 2030,” katanya.

Tambahnya, beliau yakin dengan peningkatan perbelanjaan awam dan lebih banyak dana ekonomi daripada bajet tahunan dan inisiatif pembiayaan alternatif, maka ekonomi negeri ini boleh mencatatkan pertumbuhan antara lima peratus hingga enam peratus pada tahun ini.

“Kita perlu mencapai pertumbuhan sekurang-kurangnya enam peratus setahun jika kita mencapai status negara maju menjelang 2030,” katanya.

Sementara itu, mengenai perayaan Tahun Baharu Cina, beliau berharap masyarakat Tionghua meraikan perayaan ini dengan sambutan sederhana, saling menghormati dan mengasihi mereka yang kurang berkemampuan.

Sumber dari : Jiwa Bakti