LAWAS: Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) terus dilaksanakan, selagi Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), pimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memerintah, negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, program yang diperkenalkan mantan Ketua Menteri, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem itu merupakan program berterusan.
Menurutnya, sebagai wakil rakyat Kerajaan GPS, mereka diberi peruntukan MRP berjumlah RM4.5 juta, manakala peruntukan RTP berjumlah RM5 juta untuk satu tahun.
“Ia merupakan jumlah besar berbanding jumlah RTP dan MRP negeri lain, di seluruh Malaysia,” katanya semasa menyempurnakan Majlis Perolehan Landaskap Bandar, Penyerahan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Sumbangan Zakat ke Sekolah oleh Agrobank, di sini hari ini.
Hadir sama Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Datu Ubaidillah Abdul Latif dan Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi.
Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.82 Bukit Sari berkata, penyerahan geran ini merupakan siri terakhir untuk tahun ini.
Katanya, RTP dan MRP ini diberi kepada wakil rakyat Kerajaan GPS sahaja.
Justeru, beliau berharap, peruntukan ini digunakan dengan sebaiknya untuk melaksanakan projek seperti, dewan, tempat ibadah, jalan dan sebagainya.
Berhubung pelaksanaan landskap di Lawas, Awang Tengah berkata, kerajaan turut menumpukan kepada perkara berkenaan supaya bandar ini dapat dirancang dan dibuat landskap yang cantik dan bersih.
“Kita perlu berbincang dengan Majlis Daerah Lawas berkenaan pokok dan bunga yang sesuai untuk ditanam di kawasan ini,” katanya.
Katanya, program ini juga diteruskan oleh kerajaan, sekali gus dapat memberi peluang untuk masyarakat meningkatkan taraf hidup mereka.
Beliau menjelaskan, kerajaan negeri merancang untuk membina kemudahan awam seperti taman bandar di Sundar untuk penduduk di Lawas.
"Projek ini dijalankan pada tahun depan yang merangkumi beberapa komponen seperti sukan ekstrim, mendaki gunung dan sebagainya," katanya.
Katanya, taman ini juga ditanam dengan bunga Sakura yang dapat menjadi daya tarikan pelancong untuk datang ke kawasan ini.
Sumber dari : Jiwa Bakti