KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, empat perkara yang diberi hak muktlak kepada Negeri Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dirundingkan.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Majlis Khas MA63 pertama melalui persidangan video yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Dalam rundingan yang sedang diadakan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, saya memberi penekanan kepada pendirian teguh Kerajaan Sarawak mengenai empat perkara yang tidak boleh dirundingkan.
“Empat perkara yang tidak boleh dirundingkan itu ialah a) hak imigresen Sarawak, b) hak Sarawak ke atas kuasa cukai seperti mengenakan Cukai Jualan Negeri, cukai pelabuhan dan undang-undang negeri yang lain, c) Melindungi hak Sarawak dalam lingkungan Pelanta Benua d) kedaulatan negeri Sarawak ke atas pantai laut dan tanah,” katanya.
Dengan demikian kata Abang Johari, perkara-perkara itu tidak boleh dibicara untuk dirundingkan.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion, Menteri Muda undang-Undang, Hubungan Negeri-Persekutuan, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Pemangku Peguam Besar Negeri, Saferi Ali.
Sumber dari : Jiwa Bakti