KUCHING, 5.12.20
YAB Ketua Menteri dan isteri telah hadir ke Majlis Makan Malam tersebut disambut dengan penuh acara tradisi dan meriah serta persembahan nyanyian, kebudayaan dan fesyen.
Dalam ucapan, YAB Abg Jo mengucapkan tahniah dan syabas kepada Persatuan Penggiat Seni Dan Kebudayaan Malaysia Kuching (MACPA) dengan kerjasama dan sokongan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak yang telah berjaya menganjurkan Majlis Sarawak Music & Fashion Galore 2020.
'Dianjurkan dengan tujuan untuk mengangkat dan memartabatkan Songket Sarawak untuk pencalonan ICH Representative List Convention 2003 UNESCO dan juga merupakan pencalonan yang julung-julung kalinya untuk negeri Sarawak. Pengiktirafan tersebut memberi impak yang besar terutamanya untuk industri pelancongan negeri dalam usaha untuk memartabatkan salah satu seni warisan tidak ketara (Intangible) Sarawak ke peringkat antarabangsa', katanya.
Seterusnya, YAB Abg Jo juga amat berbangga di atas usaha gigih pihak Persatuan Penggiat Seni dan Kebudayaan Malaysia Kuching dengan memartabatkan songket Sarawak ke Arah pencalonan yang berprestij tersebut. Saya juga ingin merakamkan syabas kepada penggiat seni Songket Sarawak yang berusaha gigih dalam memainkan peranan masing-masing untuk mengekalkan seni warisan turun temurun ini sehingga mendapat pengiktirafan dunia.
'Acara ini adalah bertujuan untuk memantapkan dokumentasi pencalonan songket pada Sarawak dan akan dihantar sebagai dokumentasi terakhir ke ibu pejabat UNESCO di Paris tahun 2021. Kerajaan negeri Sarawak melalui Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak dan agensi agensi dibawahnya, khasnya, Majlis Seni Sarawak, Majlis Kraf Sarawak sedang giat merancang program-program yang boleh memajukan Industri Kreatif Sarawak yang berasaskan Warisan Budaya Seni Negeri Sarawak', ujarnya lagi.
Tambah beliau, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak sentiasa meninjau peluang dan hubungan antarabangsa yang boleh mempromosikan seni budaya dan warisan negeri Sarawak melalui program-program UNESCO.
Bagi mencapai hasrat tersebut pihak kerajaan negeri akan melihat dan mengkaji program kerjasama untuk mempromosikan seni, budaya dan warisan negeri Sarawak bersama:
The International Training Center for Intangible Cultural Heritage in the Asia-Pacific Region under the aupices of UNESCO lebih dikenali sebagai CRIHAP merupakan sebuah institusi antarabangsa pusat Kategori 2 UNESCO yang beribu pejabat di Beijing China. Ia berfungsi untuk menyediakan latihan profesional bagi meningkatkan kapasiti ‘building community’ antara negara-negara anggota UNESCO Konvensyen 2003.
International Information and Networking Centre for Intangible Cultural Heritage in the Asia-Pacific Region under the auspices of UNESCO (ICHCAP) yang beribu pejabat di Jeonju, Korea. Bersama ICHCAP kerajaan akan meneliti dan mempertimbangkan dengan penggunaan kaedah-kaedah penyelidikan yang telah dilaksanakan oleh pihak ICHAP di dalam penyelidikan domain-domain seperti mana yang telah digariskan di bawah Convention for the safeguarding of the Intangible Cultural Heritage (ICH). Domain-domain tersebut adalah seperti:
Tradisi lisan dan ekspresi termasuk bahasa etnik dan suku kaum tempatan sebagai alat perhubungan ke arah kolaborasi warisan tidak ketara.
Seni persembahan yang merangkumi pelbagai etnik di Sarawak. Amalan sosial dan juga acara-acara festival di Sarawak.
Pengetahuan dan juga amalan tempatan khususnya di negeri Sarawak mengenai alam semula jadi dan budaya.
Kraf tradisional Sarawak yang merangkumi Songket, Keringkam, Pua Kumbu, Manik dan sebagainya.
'Kerajaan akan sentiasa menyokong usaha Persatuan Penggiat Seni & Kebudayaan Malaysia, Kuching dalam mengadakan kolaborasi dan kerjasama serta latihan mengikuti modul pengajaran antarabangsa mengenai warisan tidak ketara ataupun ICH yang dapat diterapkan sebagai metodologi warisan tidak ketara Sarawak. Kerajaan negeri juga akan terus menyokong hasrat dan cita-cita murni penggiat-penggiat seni secara praktikal untuk satu anjakan paradigma bagi menyelaraskan program aktiviti latihan, promosi, serta pasaran warisan kebudayaan tidak ketara Sarawak. Sarawak harus mengambil peluang ini kerana kedudukan strategik secara geographik di Borneo, katanya.
Diakhir ucapan, YAB Abg Jo juga mengatakan, selain keunikan Sarawak dengan kepelbagaian etnik di mana tidak kurang dari 27 kumpulan etnik yang kaya dengan anugerah Budaya Warisan dan Seni yang mendapat perhatian UNESCO. Ini akan memberi peluang kepada masyarakat Sarawak menjadikan Warisan Seni dan Budaya bukan sahaja sebagai amalan turun temurun tetapi juga memberi pulangan ekonomi yang stabil dan berterusan. Saya mengucapkan terima kasih kepada MACPA di bawah sokongan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak kerana telah mengangkat seni tidak ketara Sarawak iaitu Songket Sarawak untuk dicalonkan dibawah senarai wakil konvensyen 2003 dan kita mendoakan bahawa pencalonan ini mendapat pengiktirifan dunia yang akan diumumkan pada tahun 2021.
YAB Abg Jo serta isteri juga menyampaikan Anugerah Ikon Fesyen Sarawak yang telah dimenangani oleh Pereka Feksyen Datuk Tom Abang Saufi dan seterusnya Sijil kepada Pereka Feksyen Anna Su, Benz Nazari dan Wan Bynun serta upacara penerimaan dokumen Songket untuk kerajaan Sarawak.
Turut hadir, Menteri Pelancongan Kesenian, dan Kebudayaan dan Menteri Belia dan Sukan Sarawak, YB Datuk Karim Bin Hamzah serta isteri, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri ( Hal Ehwal Koporat dan UKAS ), YB Abdullah bin Saidol, Presiden Persatuan Penggiat Seni dan Kebudayaan Malaysia ( Sarawak ), Marzuki bin Tambi dan kenamaan lain.
Sumber dari : Sarawakku