DISEMBER 2020

Sarawak, Petronas Meterai Perjanjian Bersejarah Esok


KUALA LUMPUR: Esok Sarawak akan menempa satu lagi sejarah dengan termetrainya perjanjian antara Kerajaan Sarawak dan PETRONAS yang bakal menyaksikan Sarawak terlibat secara aktif dalam industri minyak dan gas melalui PETROS dan mendapat pulangan yang lebih adil daripada sumber minyak dan gasnya.

Sebentar tadi Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg telah berkesempatan untuk hadir di sesi taklimat mengenai butir-butir Commercial Settlement Agreement (CSA) kepada ahli-ahli parlimen GPS yang telah disampaikan Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato Sri J. C. Fong.

Datuk Patinggi Abang Haji Johari turut berucap pada akhir sesi untuk memberi gambaran keseluruhan kepada ahli-ahli parlimen mengenai perkembangan rundingan dengan Petronas yang berakhir dengan majlis menandatangani CSA esok.

Pada CSA jam 10.00 pagi esok, Sarawak akan diwakil oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion dan disaksikan oleh Pemangku Peguam Negeri, Saferi Ali. 

Turut hadir di sesi taklimat ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri-Menteri Persekutuan GPS.

Sumber dari : Sarawakku