KUCHING: Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi amat menyokong penuh usaha kerajaan pusat untuk membuka semula sesi persekolahan khususnya bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan.
Menterinya, Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, Sarawak menyambut baik pengumuman yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Jidin semalam.
“Sarawak melalui Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan kementerian saya menyambut baik pengumuman yang diumumkan kelmarin mengenai sekolah akan dibuka semula pada 24 Jun tahun ini terutamanya bagi kelas-kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
“Ini akan dibuka pada 24 Jun bulan ini seperti mana yang telah diumumkan oleh menteri pendidikan kelmarin.
“Dan kita di negeri Sarawak amat menyokong seratus peratus usaha ini,” katanya pada sidang media berkenaan dengan pembukaan sekolah di Sarawak, Khamis.
Bagaimanapun, kata Manyin lagi, sesi pembukaan sekolah ini juga akan mengalami sedikit masalah seperti asrama, dan bilangan pelajar dalam sesebuah kelas.
“Namun kita akan menghadapi banyak cabaran….yang pertama, adalah bilik kelas yang tidak dapat menampung 40 orang pelajar kerana terdapat kelas yang lebih daripada 40 orang pelajar di setiap kelas.
“Apa yang di umumkan adalah maksimum 20 orang bagi setiap kelas dan kita akan membahagikan 40 orang pelajar ini kepada dua buah kelas.
“Yang kedua adalah asrama , ada asrama yang tidak menggunakan katil, mereka menggunakan katil dua tingkat..dan ini juga merupakan salah satu cabaran, kerana jika asrama menggunakan katil.. kita dapat menjarakkan satu meter iaitu penjarakan sosial bagi setiap penghuni asrama ini.
“Ini kita akan cuba supaya apa yang diumumkan oleh pihak kementerian akan dilaksanakan dengan lancar” jelasnya lagi.
Sumber dari : TVSarawak