JUN 2020

Sarawak Sasar Tiada Perkhidmatan Feri Menjelang Tahun 2024, Dua Jambatan Bernilai RM450.5 Juta Dibina


PUSA: Sarawak mensasarkan perkhidmatan feri tidak lagi digunakan menjelang tahun 2024 di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ini terutamanya dalam menggerakkan nadi jaringan perhubungan infrastruktur di kawasan jalan pesisir pantai dari Kuching ke Sibu.

Katanya lagi, Kerajaan Sarawak kini sedang melaksanakan beberapa projek utama dalam memantapkan jaringan utama jalan pesisir pantai, termasuk pembinaan jambatan.

Pembinaan dua jambatan iaitu Jambatan Batang Saribas dan Sungai Krian yang keseluruhan bernilai RM450.5 juta itu dijangka disiapkan dalam tempoh empat tahun.

“Kedua-dua projek mega itu bakal memantapkan lagi jaringan utama jalan pesisir pantai di negeri ini, katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak kedua-dua projek itu hari ini.

Projek Jambatan Batang Saribas sepanjang 1.55 kilometer menelan kos RM375.5 juta, manakala projek jambatan Sungai Krian sepanjang 300 meter membabitkan kos RM75 juta.

Sehubungan itu, Ketua Menteri berharap kontraktor yang terlibat dalam aktiviti pembangunan di negeri ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian Covid 19.

Turut mengiringi Ketua Menteri ialah Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur, Datuk Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Haul Samion serta yang lain.

Sumber dari : Jiwa Bakti