APRIL 2021

Mesyuarat MA63 Bincang Isu Telekomunikasi


KUCHING: Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi Di bawah Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kali ketiga yang diadakan secara atas talian hari ini membincangkan isu-isu khusus berkaitan telekomunikasi.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang menghadiri mesyuarat itu menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi jaminan isu-isu berkaitan MA63 akan dibincangkan secara adil.

Muhyiddin yang melakukan lawatan kerja rasmi dua hari ke Sarawak minggu lalu memberi jaminan itu semasa berucap pada majlis perhimpunan kakitangan Perkhidmatan Awam Persekutuan dan negeri di sini.

"Kita juga telah memulakan usaha ke arah ekonomi digital sejak 2017 dengan menyedari kepentingan data dan inovasi yang akan menjadi pemacu perkembangan teknologi.

"Dengan pandemik Covid-19, telekomunikasi sudah menjadi satu kemestian dan adalah wajar isu berkaitan dibincang dan diselesaikan," kata Awang Tengah.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapha Mohamed dan turut dihadiri beberapa menteri persekutuan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sumber dari : Jiwa Bakti