Julai 2019

Mi Udang Oya Curi Tumpuan Pengunjung


DALAT: Jika anda berkunjung ke Daerah Dalat, jangan lupa singgah ke Mi Udang Oya, terletak kira-kira 25 kilometer dari Mukah. M.Annuar Cafe menjadi kunjungan pengunjung gara-gara mi udang yang sangat sedap dan harga berpatutan.

Dijual dengan harga RM30, RM15 dan RM13, mi udang dijual dalam pelbagai menu iaitu mi sup udang, mi goreng udang galah, udang galah goreng dan banyak lagi. Menurut pemilik kafe, M. Annuar, pada mulanya, beliau menjual mi goreng ayam dan daging namun kurang mendapat sambutan. Atas alasan itu, katanya beliau mengorak langkah mengambil keputusan menjual mi udang. “Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan daripada pengunjung yang bukan sahaja datang dari Mukah, Dalat malah Sibu, Miri, Kuching, Brunei dan Sabah,” katanya. Sejak beroperasi lapan tahun lalu, Annuar dibantu oleh isterinya, Dayang Rohani Awang Nasri dan empat orang anaknya berusia empat tahun hingga 18 tahun.

Dibuka setiap hari mulai jam 6.30 pagi hingga 1 petang, kafe itu menjadi tumpuan ramai ekoran udangnya yang segar dan manis. Beliau mendapat bekalan udang daripada 12 pembekal menggunakan resipi sendiri untuk membuat mi udang lebih sedap.

Sumber dari: Jiwa Bakti