FEBRUARI 2020

PETROS Bekerja Keras Jamin Bekalan Gas Mencukupi


KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) bekerja keras memastikan bekalan gas yang dibekalkan mencukupi untuk bidang industri, komersil dan kegunaan harian masyarakat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, langkah itu penting kerana Sarawak mempunyai kawalan penuh ke atas bekalan, jualan dan pengedaran gas asli dalam negeri sejak 1 Januari 2020.

“Dengan usaha ini, Sarawak mampu menarik lebih banyak pelabur dalam industri hiliran minyak dan gas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap mewakili Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Majlis Menandatangani Perjanjian Gas Domestik Sarawak antara PETRONAS dan PETROS di Hotel Hilton, Kuching, hari ini.

PETROS diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Saau Kakok manakala PETRONAS diwakili Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, Mohamed Firouz Asnan.

Perjanjian itu merangkumi beberapa elemen antaranya jualan gas Sarawak, dagangan dan aset jualan.

Awang Tengah menjelaskan, gas asli merupakan sumber petroleum di mana Sarawak memegang 54 peratus daripada jumlah rizab gas asli dan 29 peratus rizab minyak negara.

“Sumber asli ini dieksport sebagai minyak mentah atau LNG (Gas Cecair Asli), namun sumber asli ini tidak kekal lama,” ujar beliau.

Katanya, kerajaan perlu meneroka untuk memperluaskan industri-industri hiliran tambah nilai ini di Sarawak.

Katanya, sebanyak 40 hingga 50 peratus daripada semua penemuan gas baharu di Sarawak akan dikekalkan sebagai bahan mental industri hiliran ini.

“Melalui pengaturan ini, kita mampu memanfaatkan sumber gas sekaligus mempercepatkan pembangunan ekonomi kita melalui aktiviti petrokimia hiliran yang lebih tinggi,” jelasnya.

Selain itu, Awang Tengah berkata bahawa kemudahan infrastruktur yang sedia ada di Bintulu dapat memanfaatkan ketersediaan sumber gas asli sebagai bahan mentah di Sarawak.

“Ia akan menjadikan Bintulu sebagai hab minyak dan gas yang tumbuh dan bertenaga di rantau ini,” ujarnya.

Sumber dari : Jiwa Bakti