OKTOBER 2018

PUSAKA anjur ceramah kerjaya kepada pelajar SMK Kabong


KABONG: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) ‘berkongsi’ prospek kerjaya dalam industri perkayuan kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kabong.

Penolong Pengurus Besar Wilayah Tengah PUSAKA Johari Zainudin memberitahu, PUSAKA menganjurkan program ceramah kerjaya dan latihan dalam industri perkayuan ini sempena sambutan Ulang Tahun Ke-45 PUSAKA.

“Kita melibatkan seramai 240 pelajar di sini dengan menyasarkan penglibatan mereka yang berada di Tingkatan Empat dan Lima untuk diberi pendedahan tentang industri perkayuan di negeri ini.

“Ia bertujuan membantu mereka mendapatkan maklumat tentang prospek kerjaya yang ditawarkan dalam industri perkayuan untuk diceburi selepas menamatkan persekolahan,” katanya semasa merasmikan program yang memasuki siri kesembilan dekat sini, hari ini.

Katanya, PUSAKA turut mengharapkan program ini mampu melahirkan generasi yang sayang kepada keindahan alam semula jadi.

Turut diadakan demonstrasi membuat ukiran kayu.

Dalam pada itu, Johari berpeluang mengetuai simbolik penanaman 250 anak pokok Rhu dan Bintangor Laut yang dibekalkan oleh Jabatan Hutan Sarawak.

Ia merupakan usaha memupuk kesedaran tentang penjagaan hutan melalui aktiviti penanaman semula dalam mengurangkan pemanasan global yang melanda seluruh dunia.

Selain dapat menyuntik semangat para pelajar untuk bersungguh-sungguh mengejar impian dan masa depan masing-masing.

Hadir sama Pengurus Latihan Industri PUSAKA Saili Lam, Pengetua SMK Kabong Ramlee Seruji dan Pegawai Hutan Bahagian Sri Aman Dixon Girang.