DARO: Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM56,000 kepada pelbagai pertubuhan dan persatuan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, peruntukan yang disalurkan itu merupakan tanda penghargaan kerajaan di samping membantu pertubuhan berkenaan melaksanakan aktiviti.
Pada masa sama katanya, sumbangan juga bermatlamat memastikan semua pihak mendapat manfaat melalui penganjuran pelbagai program yang dilaksanakan.
“Sumbangan ini adalah tanda penghargaan daripada kerajaan kepada persatuan atau NGO untuk membantu mereka melaksanakan aktiviti.
“Saya berharap ia dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya untuk kepentingan bersama terutama bagi meningkatkan prestasi akademik pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan peruntukan kepada 10 pertubuhan termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Safiee menggesa NGO memainkan peranan lebih proaktif dengan menganjurkan pelbagai program yang melibatkan penyertaan segenap lapisan masyarakat.