KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengukuhkan peranan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) untuk menerajui peningkatan keterlibatan Sarawak dalam industri minyak dan gas terutamanya di sektor hiliran.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, usaha ini juga akan memberi fokus ke arah mendapatkan bekalan gas asli yang mencukupi, untuk mendorong agenda pembangunan, di Sarawak.
Oleh itu, katanya Kerajaan Sarawak melalui Petros akan memiliki hak kawal selia ke atas sumber minyak dan gas yang dihasilkan dari kawasan darat, memilih dan melantik kontraktor serta menjalinkan usaha dengan pelabur untuk meneroka dan menghasilkan minyak dan gas.
“Ini menerusi pemberian pajakan perlombongan di dua blok iaitu Adong Kecil Barat di Miri dan kawasan Engkabang di selatan Marudi.
“Inisiatif ini akan memastikan peluang yang lebih besar bagi syarikat dan rakyat Sarawak untuk menyertai dan melabur dalam industri minyak dan gas,” katanya pada Majlis Makan Malam Industri Minyak dan Gas Sarawak, di sini malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato' Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Pengerusi PETROS, Tan Sri Datuk Amar Dr Hamid Bugo dan ahli kenamaan yang lain.
Abang Johari berkata, Sarawak kini terlibat secara langsung dalam mengendalikan sepenuhnya eksplorasi dan pengeluaran petroleum di kawasan darat menerusi Petros
Katanya, ini meningkatkan kepakaran, pengetahuan dan teknologi yang akan menyumbang kepada pertumbuhan dan pengembangan industri minyak dan gas berterusan serta menyumbang kepada kejayaan ekonomi negeri.
Katanya, ia termasuk penubuhan hab petrokimia dan kilang pemprosesan gas untuk meningkatkan keselamatan bekalan gas petroleum cecair (LPG) untuk memenuhi permintaan LPG yang semakin meningkat di negeri ini.
Sumber dari : Jiwa Bakti