NOVEMBER 2020

GPS Tak Pernah Sembunyi Fakta, Dakwaan DAP Tidak Berasas


KUCHING: Projek pembinaan bangunan tambahan Hospital Miri telah diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE, JPM) di bawah Rancangan Boleh Pinda 1 (RP1), Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) tahun 2016. 

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan dakwaan Setiausaha DAP Sarawak, Senator Alan Ling, kononnya projek berkenaan ialah projek yang dirancang untuk dilaksanakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah pembohongan dan tidak berasas sama sekali.

"Projek berkenaan telah diterima secara rasmi pada 28 Mac 2016 melalui penerimaan Borang Permulaan Pelaksanaan Projek (BPPP) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. 

"Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia  telah menyerahkan Surat Setuju Terima (SST) kepada pihak kontraktor pada 11 Jun 2020 iaitu ketika zaman Kerajaan sekarang, manakala tarikh milik tapak kepada pihak kontraktor adalah pada 25 Jun 2020," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kata Ahli Parlimen Petra Jaya itu lagi, dakwaan Alan Ling bahawa PH dapat menjimatkan RM50 juta untuk projek itu juga menunjukkan beliau sendiri yang tidak faham apa perbezaan antara siling projek dan kos kontrak. 

Jelasnya, tarikh milik tapak projek Hospital Miri ialah pada 25 Jun 2020. 

"Pada masa itu, belum ada kontrak dibentuk antara kerajaan dengan mana-mana kontraktor sebelum tarikh tersebut. 

"Proses tender semula yang dilaksanakan merupakan proses biasa bagi memastikan semua peraturan yang berkuat kuasa dipenuhi sepenuhnya," katanya.

Tambah Fadillah, mesyuarat prapembinaan telah dilaksanakan di peringkat Cawangan Kerja Kesihatan dan Pasukan Projek Khas 2, Ibu Pejabat JKR Malaysia yang dilantik untuk melestarikan perancangan pelaksanaan pembinaan projek dengan semua stakeholder terlibat pada 23 Jun 2020.

"Siling projek berkenaan adalah RM340 juta, manakala kos kontrak RM289.2 juta. Sememangnya kos siling dan kos kontrak akan berbeza. Kos siling ialah peruntukan yang diberi, manakala kos projek ialah nilai kontrak yang diperuntukkan kepada kontraktor," jelasnya.

Justeru, tegasnya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak pernah menyembunyikan fakta mengenai Hospital Miri seperti yang didakwa Senator Alan Ting.

Sumber dari : Jiwa Bakti