JULAI 2020

Parlimen Santubong Terima Tempias Pembangunan - Wan Junaidi


LUNDU: Kerajaan sentiasa prihatin terhadap keperluan dan permasalahan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri ini.

DUN N.3 Tanjong Datu di bawah Parlimen P.193 Santubong tidak ketinggalan menikmati keperluan itu menerusi pemberian pelbagai bentuk bantuan, sumbangan dan geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM36,900 secara keseluruhan.

Daripada jumlah tersebut, seramai sembilan penerima sumbangan bantuan perubatan berjumlah RM8,600.

Sementara, enam penerima bantuan pendidikan berjumlah RM3,200 diikuti tujuh penerima kerusi roda.

Selain itu, geran MRP Parlimen Santubong bagi kawasan DUN Tanjong Datu berjumlah RM23,000 secara keseluruhan turut disampaikan kepada enam pertubuhan di kawasan tersebut.

Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Kecemasan Perubatan, Pendidikan dan Geran MRP Parlimen P.193 Santubong bagi kawasan N.3 Tanjong Datu dilakukan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen P.193 Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Serbaguna Mahligai Gading, Lundu hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.3 Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu, isteri Datuk Seri Wan Junaidi, Datin Seri Feona.

Sementara itu, Wan Junaidi dalam ucapannya, beliau berkata DUN Tanjong Datu bersedia menerima pembangunan hasil kerjasama, perpaduan dan politik stabil negeri ini.

Beliau mengambil contoh projek bina jambatan konkrit bagi menggantikan lapan jambatan bailey di sepanjang Jalan Lundu-Sempadi.

“Ini adalah antara pembangunan yang rancak dijalankan demi keselesaan rakyat terutama di luar bandar,” katanya.

Menurutnya, kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa menyediakan kemudahan prasarana untuk masyarakat di luar bandar.

Beliau menjelaskan, hampir 50 projek yang akan dilaksanakan di kawasan Parlimen Santubong ini bakal ditenderkan dalam masa terdekat.

Sumber dari : Jiwa Bakti