JUN 2020

“Saya Tidak Tahu Bila Pilihan Raya, Saya Sibuk Dengan Projek Metanol” - Abang Jo


BINTULU: Belum ada sebarang petunjuk bila Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 akan diadakan.

Malah, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga tidak mengulas lanjut ketika ditanya oleh media semasa mengadakan lawatan ke Bintulu, hari ini.

“Bilakah pilihan raya, saya tidak pasti kerana saya masih sibuk dengan projek metanol di sini,” jelasnya kepada media.

Sebelum itu, Ketua Menteri menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) di sini.

Beliau kemudian mengadakan lawatan ke tapak projek bina Jambatan Kuala Kemena-Jepak dan Projek Loji Methanol Sarawak di kawasan seluas 34 hektar di Similajau Tanjung Kidurong.

Ketika ditanya pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur baru-baru ini, Abang Johari memberitahu, ia adalah perjumpaan untuk menyatakan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terhadap kepemimpinan Perdana Menteri mentadbir negara ke arah sebuah negara maju dan stabil.

Katanya, lebih-lebih lagi negara sedang berdepan cabaran mengekang pandemik Covid-19 yang belum selesai dan keadaan ekonomi belum pulih.

“Kami hanya mengadakan pertemuan biasa. Saya datang apabila dipanggil,” katanya lagi.

Semalam (Rabu), Perdana Menteri dikatakan berjumpa dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk pemimpin Gabungan Parti Sarawak.

Menurut Abang Johari lagi, dalam pertemuan itu, GPS memberi sokongan kepada Kerajaan Pusat demi sebuah kerajaan yang stabil.

“Saya percaya rakyat juga inginkan sebuah negara aman dan stabil,” katanya.

Turut mengiringi Ketua Menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Jaul Samion, Ahli Parlimen Bintulu yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke China, Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri di Jabatan Ketua Menteri(Integriti dan Ombudsman) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang Undang dan Adat Bumiputera), Datuk John Sikie.

Sumber dari : Jiwa Bakti