FEBRUARI 2021

Pelancongan Domestik Diberi Tumpuan


KUCHING: Kerajaan Sarawak berusaha memulihkan sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dengan merangka pelbagai pendekatan sesuai.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata antara inisiatif yang diambil ialah memberi keutamaan kepada pelancongan domestik.

Katanya, susulan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, semua lapangan terbang termasuk di Sarawak ditutup menyebabkan rakyat dari luar tidak dibenarkan masuk.

“Sehubungan itu, kementerian mengambil langkah sesuai dengan mengalakkan rakyat di negeri ini melancong dan melawat tempat-tempat menarik di Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan penerbitan sulung Jurnal Pengurusan Pelancongan Bertanggungjawab (JRTM) di sini, hari ini.

Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan menambah, kerajaan tidak ketinggalan menawarkan pelbagai kempen bagi memastikan pelancongan domestik mampu berkembang lebih pesat.

Justeru, Kempen Pelancongan Dalam Negeri 'Sia Sitok Sarawak' diadakan bertujuan meningkatkan usaha dan aktiviti pelancongan dalam negeri.

Sementara itu, menurut Karim, jumlah kedatangan pelancong di Sarawak secara keseluruhan bagi tempoh Januari hingga Disember 2020 mengalami kemerosotan sebanyak 74.27 peratus.

Katanya, pada tahun lalu hanya 1,199,872 pelancong direkodkan di Sarawak berbanding 4,662,419 pelancong pada 2019.

"Kedatangan pelancong asing turut mengalami penurunan ketara iaitu menurun sebanyak 82.55 peratus dari 2,082,444 pelancong tahun 2019 kepada 363,304 pelancong tahun lalu,” katanya. 

Manakala katanya, pendapatan sektor pelancongan bagi tahun lalu berjumlah RM2.88 bilion iaitu penurunan sebanyak 75.12 peratus berbanding tahun 2019.

Sumber dari : Jiwa Bakti