Ogos 2019

Pemberian Tangki Air Kerajaan Sarawak Untuk Kemudahan Rakyat Hadapi Musim Kemarau


MATU: Pemberian tangki air Kerajaan Sarawak adalah untuk kemudahan rakyat menghadapi masalah musim kemarau yang mengakibatkan paras air semakin merosot.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Yang Berhormat Dato' Murshid Diraja Dr. Haji Juanda bin Haji Jaya berkata ketika musim kemarau ini, masyarakat perlu berjimat dalam penggunaan air dan mengelakkan pembaziran.

“Musim kemarau tidak dapat kita elakan. Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) telah memaklumkan paras air semakin merosot dan meminta supaya masyarakat menjimatkan penggunaan air.

“Pemberian tangki air ini adalah bertujuan untuk kemudahan masyarakat menyimpan air dan dimanfaatkan sebaik mungkin dalam menjalani aktiviti dan keperluan harian,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Tangki Air Kerajaan Sarawak kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng anjuran Pejabat Daerah Matu di sini, semalam.

Sebanyak 196 tangki air diagihkan kepada 8 rumah panjang dan kampung di sepanjang Batang Igan di dalam DUN Jemoreng yang masih belum mendapat bekalan air bersih.

Dato' Murshid Diraja Dr. Haji Juanda turut menjelaskan projek bekalan air bersih yang diluluskan Kerajaan Sarawak sebelum ini turut melibatkan Kampung Kebuaw.

“Projek Bekalan Air Bersih yang dilaksanakan JBALB ini adalah termasuk Kampung Kebuaw.

“Kerja-kerja memasang paip akan menyusul selepas siapnya jalan raya dari Igan ke Sungai Illas dan ke Kampung Bungan Kecil.

“Saya juga mengalu-alukan apa-apa sahaja aduan rakyat di peringkat akar umbi, tentang permasalahan di kawasan, tetapi mestilah berasas dengan disertakan gambar dan turut dimaklumkan cadangan serta jalan penyelesaian terhadap masalah tersebut,” ujarnya.

Pada majlis itu, turut diadakan penyerahan Projek Baik Pulih Dewan Masyarakat Kampung Kebuaw dan cabutan undi projek-projek di bawah DUN Jemoreng.

Sementara itu, Residen Bahagian Mukah Hajah Hamdiah bt Haji Bakir memberitahu Kerajaan Sarawak telah meluluskan pembelian sebanyak 24 unit lori tangki air untuk JBALB bagi mengatasi masalah air.

“Pada Mei 2019, Kerajaan Sarawak telah meluluskan pembelian sebanyak 24 unit lori tangki air untuk JBALB bagi mengambil tindakan pantas dalam memastikan penggguna mendapat bekalan air bersih berterusan.

“Saya mengharapkan agar masyarakat menghargai sumbangan Kerajaan Sarawak yang sentiasa berusaha memastikan rakyat hidup selesa dengan memberi sokongan padu kepada Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri,” katanya.

Hadir sama Pegawai Daerah Matu Wan Hipni bin Wan Mohamad, Weida Resources Sdn. Bhd Lawrence dan Pemanca Kaum Melanau Matu Johari bin Rimong.

Sumber dari: Unit Komunikasi Awam Sarawak