NOVEMBER 2019

Pembinaan Jalan Pesisir Sarawak Libatkan Tiga Komponen Utama - James Masing


KUCHING: Kerja-kerja pembinaan Jalan Pesisir Sarawak melibatkan tiga komponen utama kata Menteri Infrastuktur dan Pembangunan Pelabuhan, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing.

Beliau berkata, komponen pertama ialah menggantikan tujuh perkhidmatan feri dengan jambatan di Batang Rambungan, Batang Lupar, Batang Saribas, Sungai Krian, Batang Paloh, Muara Lassa dan Batang Igan.

“Komponen kedua adalah untuk menghubungkan pautan yang hilang di Jalan Pasi, Sarikei/Tanjung Manis, Mukah termasuk Jambatan Batang Rajang, Pembinaan Jambatan Bintulu/Jepak merentasi Kuala Kemena dan cadangan jajaran kedua Jalan Kuching/Samarahan termasuk pembinaan jambatan merentasi Sungai Sarawak di Demak Laut.

“Komponen ketiga melibatkan kerja-kerja menaiktaraf Jalan Pesisir sedia ada yang terbahagi kepada pakej A (13 Sub-pakej) dan pakej B (10 Sub-pakej), menjadikan keseluruhannya berjumlah 23 Sub-pakej,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawapan-Jawapan Lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Yussibnosh Balo (GPS-Tellian) yang ingin tahu setakat mana pelaksanaan Jalan Pesisir itu setakat terkini,

Mengulas lanjut, Masing berkata, setakat ini, bagi komponen pertama, empat daripada tujuh pakej tersebut telah ditawarkan kepada kontraktor iaitu Jambatan Batang Saribas (Anggaran Kos: RM496 juta), Jambatan Sungai Krian (Anggaran Kos: RM174 juta), Jambatan Batang Paloh (Anggaran Kos: RM567 juta) dan Jambatan Muara Lassa (Anggaran Kos: RM665 juta).

“Komponen kedua, Jalan Pasi, Sarikei/Tanjung Manis, Mukah termasuk Jambatan Batang Rajang, surat terima telah dikeluarkan pada 22 Febuari lepas dengan harga kontrak sebanyak RM321,377,700.

“Jambatan Kuala Kemena/Jepak, Bintulu, surat setuju terima telah dikeluarkan pada 6 Mac dengan harga kontrak RM466,679,497, manakala Jalan kedua dari Samarahan ke Kuching melalui Jalan Tanjung Bako dan projek pembinaan Jalan Penghubung Bako/Buntal termasuk pembinaan jambatan merentasi Sungai Buntal masih dalam fasa rekabentuk awalan,” katanya.

Manakala bagi komponen ketiga, katanya, Sub-pakej A4 (jajaran di antara Kampung Sungai Bulug/Sebuyau sepanjang 9.6km) telah ditawarkan kepada kontraktor, baki dua belas sub-pakej masih dalam proses penyediaan dokumen tender.

“Sub-pakej B1 (Tanjung Kidurong/Kuala Suai/Kuala Niah/Kuala Sibuti/Jalan Bakam sepanjang 12.3km) telah ditawarkan kepada kontraktor, manakala baki sembilan sub-pakej masih dalam peringkat kajian tapak dan rekabentuk,” katanya.– BERNAMA

Sumber dari: Suara Sarawak