LUNDU: Penduduk Kampung Bengang di Lundu umpama menerima 'durian runtuh' dari kerajaan negeri menerusi pelaksanaan dua projek transformasi luar bandar (RTP).
Pertama, projek RTP sebanyak RM450,000 melibatkan naik taraf jalan kampung dan jambatan konkrit yang sudah siap sepenuhnya, manakala satu lagi projek bina baharu Dewan Masyarakat dengan kos RM200,000.
Ketua Kaum Kampung Bengang Maxwell Ujis berkata, penduduk kampung amat berterima kasih dengan ADUN Tanjong Datu, Datuk Amar Hajah Jamilah Haji Anu yang berusaha keras dalam merealisasikan pembangunan di situ.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi ADUN Tanjong Datu, Datuk Amar Hajah Jamilah Haji Anu melakukan tinjauan projek RTP di Kampung Bengang pada Isnin.
Sementara itu, Maxwell yang mewakili suara penduduk kampung merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri menerusi ADUN Tanjong Datu kerana turut meluluskan pembinaan projek Dewan Masyarakat yang kini dalam proses pembersihan tapak.
Pada masa sama, Hajah Jamilah meluangkan masa kira-kira dua jam bersama penduduk setempat semasa melakukan tinjauan projek RTP itu. -Edisi UKAS
Sumber dari: Unit Komunikasi Awam Sarawak