SEPTEMBER 2019

Persembahan Menarik Warnai Sambutan Hari Malaysia Di Stadium Perpaduan


KUCHING: Lebih 7,000 orang membanjiri Stadium Perpaduan, di sini, untuk menyaksikan sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2019.

Semangat ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ menyemarakkan Sambutan Hari Malaysia 2019 yang diadakan di Sarawak.

Pelbagai acara menarik diadakan sempena meraikan Ulang Tahun Ke-56 pembentukan Malaysia.

Sambutan penuh bermakna ini diserikan dengan kehadiran Yang di Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib sebagai tetamu kehormat serta Perdana Menteri Malaysia, Tun Pehin Sri Dr Mahathir Mohamad bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal.

Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Penerangan Malaysia, Sarawak, buat julung kalinya, persembahan Shadow Play berjudul United We Stand, Divided We Fall yang menampilkan 16 orang penari menjadi daya penarik utama majlis kerana keunikan bentuk persembahannya yang memaparkan mesej perpaduan.

Selain itu, warna-warni kehidupan rakyat serta paparan peristiwa penting mengikut era diterjemah menerusi persembahan khas bertajuk ‘The Journey’ melibatkan 500 orang penari serta pelakon daripada pelbagai persatuan kebudayaan tempatan dan juga termasuk artis tari Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.

Sumber dari: Jiwa Bakti