SEPTEMBER 2019

Penduduk Taman Sukma Bakal Miliki Dewan Serbaguna


KUCHING: Penduduk Taman Sukma, Petra Jaya di sini bakal memiliki sebuah dewan serbaguna moden pada tahun depan.

Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, dewan serbaguna bernilai RM5 juta itu dibina menggunakan dana Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Ketua Menteri, katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah dewan itu di sini hari ini. Majlis itu turut dihadiri Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dewan serbaguna yang boleh memuatkan 1,000 orang dalam satu-satu masa itu dilengkapi dengan pejabat, bilik mesyuarat, bilik aktiviti dan dewan utama dan dijangka siap dalam masa 12 bulan.

“Dewan serbaguna ini memang dinanti-nantikan oleh penduduk di sini. Apabila siap nanti, dewan itu digunakan untuk menganjurkan aktiviti bercorak kemasyarakatan.

“Kita memang memerlukan sebuah dewan serbaguna di sini kerana jumlah penduduk di taman ini semakin ramai. Selain itu, penduduk di sekitarnya juga boleh menggunakannya,” katanya.

Mengenai mesyuarat jawatankuasa pemandu MA63, beliau berkata, mesyuaratnya boleh diadakan sehingga hujung Oktober memandangkan masih ada perkara yang perlu dibincangkan disebabkan ada yang belum mendapat persetujuan.

Sumber dari: Jiwa Bakti