SEPTEMBER 2019

RM140 Juta Diperlu Laksana Pelan Tindakan Jangka Panjang Untuk Air Bersih


SRI AMAN: Peruntukan sejumlah RM140 juta diperlukan bagi melaksanakan Pelan Tindakan Jangka Panjang yang dirangka bagi mengatasi masalah bekalan air bersih di kawasan ini.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis berkata, Batang Ai, Lubok Antu dan Sungai Batang Lupar dicadang sebagai sumber baharu bagi menyalur bekalan air mentah ke Loji Perawatan Air Empango, Bayai di sini.

Menurutnya, cadangan itu sudah dikemukakan kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berhubung peruntukan itu. “Peruntukan itu untuk menjayakan pelaksanaan pelan tersebut dalam tempoh dua hingga tiga tahun nanti,” katanya kepada media selepas lawatan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah di sini, hari ini.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, dua kawasan berkenaan dipilih setelah sumber air mentah Sungai Undop sering mengalami gangguan apabila musim kemarau pada setiap tahun.

Lokasi berkenaan dipilih oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sri Aman menerusi cadangan pelan tersebut.

Sumber dari: Jiwa Bakti