DISEMBER 2020

Penyelesaian Komersial Sarawak, Petronas Ditandatangani 7 Disember


KUCHING: Kerajaan Sarawak dan Petrolium Nasional Berhad (Petronas) bersetuju dengan terma Penyelesaian Komersial selepas berbincang secara mendalam antara Kerajaan Sarawak, Kementerian Kewangan dan Petronas hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Negeri merangkap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Amar Mohd. Asfia Awang Nassar berkata, Jawatankuasa Perundingan pada mesyuarat hari ini dinyatakan mengenai skop, bahagian dan terma penting Penyelesaian Komersial berkenaan dan faedah besar yang akan dikecapi oleh Negeri Sarawak hasil daripada perjanjian itu.

“Penyelesaian Komersial itu akan ditandatangani pada 7 Disember, 2020,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Kerajaan Negeri akan diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion, manakala Petronas akan diwakili oleh Pengerusinya. Butiran lanjut mengenai Perjanjian Penyelesaian Komersial itu akan dimaklumkan selepas perjanjian itu ditandatangani secara rasmi.

Majlis menandatangani perjanjian bersejarah itu akan diadakan di Kuala Lumpur dan disaksikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan semua pasukan rundingan daripada Kerajaan Sarawak dan Petronas.

Jawatankuasa Perundingan Negeri diberi taklimat mengenai Perjanjian Penyelesaian Komersial itu yang dipersetujui antara Kerajaan Sarawak dan Petronas. Taklimat itu disampaikan oleh wakil Kerajaan Sarawak terlibat dalam rundingan dengan Petronas.

Pada Mei 2020, Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak dan Petronas bersetuju berkaitan isu penetapan Cukai Jualan Negeri (SST) dan keputusan Sarawak untuk mengurus perlombongan minyak di Sarawak di bawah Undang-undang Negeri diselesaikan tanpa perlu melalui proses perundangan.

Tindakan Undang-undang yang dimulakan oleh Petronas dan Kerajaan Sarawak ditarik balik pada Ogos tahun ini, Kerajaan Persekutuan kemudian menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bersama diketuai Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk mempercepatkan rundingan antara Kerajaan Sarawak dan Petronas.

Sumber dari : Jiwa Bakti