APRIL 2020

Peranan Unit Dron Pasukan Gerakan Udara PDRM


KUCHING: Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pangkalan Sarawak dengan kerjasama Unit Risik PGU tidak ketinggalan dalam membantu kerajaan menangani penularan Covid-19 di negeri ini.

Kedua-dua pasukan ini menjalankan pemantauan dan penggambaran udara melalui OP COVID-19 menggunakan dron di kawasan titik panas (hot spot), seluruh negeri Sarawak bermula pada 31 Mac, jam 7.00 malam hingga 2 April jam 2.00 pagi.

Jenis dron yang digunakan ialah DJI Mavic II Pro (versi zoom) dan DJI Phantom Pro III.

Dalam pada itu, fokus pada peringkat pertama pemantauan dan penggambaran udara menggunakan dron adalah memberi bantuan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dan IPD Padawan terlebih dahulu kerana kekangan aset dron dan kekurangan anggota Unit Dron PGU Sarawak .

Setiap laporan pemantauan dan penggambaran udara akan disalurkan kepada Ibu Pejabat PGU Bukit Aman seterusnya disalurkan kepada Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Sri Acryl Sani Abdullah dan Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sarawak, Datuk Aidi Ismail.

Bagi kes-kes pemantauan yang melibatkan penduduk setempat yang gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuching, maklumat akan disalurkan terus kepada pihak IPD Kuching, (Pusat Kawalan Daerah) untuk bantuan pihak kenderaan pelbagai guna (MPV) balai-balai terdekat dalam mengambil tindakan yang sewajarnya.

Sementara itu, anggota Unit Dron PGU Sarawak turut dibantu Unit Risik dan Operasi PGU Sarawak yang terdiri daripada tiga orang Pegawai Polis iaitu dari Unit Risik dan Operasi, Superintenden Kamis Sulong, Ketua Unit Dron, Deputi Superintenden Polis, Awang Hasbullah dan Inspektor Unit Risik dan Operasi, Inspektor Azrul.

Penugasan ini juga turut dibantu oleh empat orang anggota Unit Dron dan Unit Risikdan Operasi PGU PDRM Pangkalan Sarawak, Sarjan Mejar Davin Dominicus, Sarjan Azren dan Koperal Benedict Lai dan bantuan daripada anggota Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak Koperal Yaakub.

Selain itu, sepanjang tempoh PKP, Unit Dron PGU Sarawak telah membuat beberapa pemantauan di sekitar kawasan Petra Jaya, Kuching seperti Kampung Gersik, Kampung Boyan, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), Bangunan Baitulmakmur serta pemantauan di kawasan-kawasan titik panas bandaraya Kuching seperti ICOM Square dan Tebingan Sungai, Kuching.

Pada malam ini, Unit Dron PGU PDRM Pangkalan Sarawak membuat pemantauan dan penggambaran di sekitar kawasan Satok, IPK Sarawak, Hospital Umum Sarawak, Emart, Metrocity, Taman Matang Avenue, Taman Matang Jaya, Taman Yen-Yen serta Taman Syn-Syn.

Pemantauan juga akan dijalankan di sepanjang Jalan Song, Taman Sahabat, Batu Tiga, Taman BDC serta Kerjasama Muda Jaya (MJC) Kuching.

Petugas PDRM selaku “frontliner” di lapangan amat terdedah secara langsung, terutamanya penugasan kawalan keselamatan seperti sekatan jalan raya serta memberi bantuan di hospital-hospital.

Pandemik ini amat merbahaya dan boleh membawa maut sekiranya tidak diuruskan secara efisyen oleh semua pihak berwajib termasuk PDRM dan kerjasama penduduk.

Dalam pada itu, keadaan di sekitar daerah Kuching menunjukkan tanda positif di mana rata-rata masyarakat memberikan kerjasama dan akur PKP yang telah dilaksanakan.

Sumber dari : Jiwa Bakti