APRIL 2020

Khidmat Hantar Makanan Kepada Kumpulan Sasar Bermula 3 April


KUCHING: Perkhidmatan penghantaran bekalan makanan asas kepada golongan sasar dijangka dilaksanakan bermula 3 April atau 4 April ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah dalam kenyataan media berkata, golongan sasar yang dibekalkan dengan makanan asas ini terdiri daripada Ketua Isi Rumah (KIR) di luar bandar dan pedalaman, bandar miskin, dan mereka yang terputus pendapatan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan itu katanya, Jawatankuasa Bencana Bahagian dan Daerah selesai mengenalpasti golongan sasar, pusat pengagihan dan modus operandi penghantaran selaras dengan peraturan PKP seluruh Sarawak.

“Golongan sasaran ini akan ditentukan Jawatankuasa Bencana Bahagian dan Daerah terdiri daripada residen, pegawai daerah, agensi-agensi kerajaan, Pusat Khidmat ADUN, dan badan bukan kerajaan (NGO) yang relevan.

Fatimah yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khas Rantaian Bekalan Makanan berkata,Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersetuju membantu menggunakan helikopter bagi penghantaran makanan di pedalaman seperti Bario, Telang Usan, Baram, Lawas, Sri Aman dan Kapit.

Selain itu, peruntukan RM16.4 juta yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 29 Mac lalu katany, akan diagihkan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Setiap DUN akan diperuntukkan RM200,000 untuk menyediakan bekalan makanan kepada mereka yang memerlukan," jelas beliau.

Katanya, peruntukan telah mula disalurkan oleh kerajaan Sarawak kepada Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bermula 1 April (Rabu) dan dijangka selesai esok, 2 April (Khamis).

Semua Pusat ADUN diminta untuk membuat tempahan makanan dengan segera.

"Setakat ini, sebanyak 44 Pusat Khidmat telah membuat tempahan bekalan makanan dan 38 Pusat Khidmat masih dalam proses berbuat demikian," ujarnya.

Justeru, kerajaan meminta semua pihak agar bertenang, sabar, tawakal dan yakin komitmen kerajaan dalam menangani cabaran COVID-19 demi kesejahteraan rakyat.

Sumber dari : Jiwa Bakti