TELOK MELANO: Peruntukan sebanyak RM200,000 diluluskan untuk projek bina baharu tandas awam di Telok Melano, Sematan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (ADUN) N3 Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu berkata, projek ini masih lagi dalam proses permohonan tapak serta dalam perbincangan menyeluruh bagi mengelak sebarang masalah.
"Saya akan berusaha untuk menyediakan lebih banyak lagi kemudahan bukan hanya di Telok Melano malah saya juga akan sediakan kemudahan di Sematan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bertemu penduduk Telok Melano semasa Program Rehlah Kembara Mahabbah atau Telok Melano Berselawat bertempat di Masjid At-Taqwa di sini, semalam.
Program tersebut berlangsung selama empat hari bermula 23 hingga 26 Januari, lalu.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kerana sentiasa menyokong saya dengan memberi undian seratus peratus pada Pilihan Raya Kecil (PRK) lalu.
Di samping itu, Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N3 Tanjong Datu juga membuka kaunter pendaftaran ahli PBB dan mengisi borang Kenyalang Gold Card untuk warga emas serta memberi cermin mata yang disumbangkan oleh Pusat Khidmat Parlimen P193 Santubong.
Semasa program itu juga, beliau turut bersedekah rambutan yang ditanam oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan memberi baju Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada rombongan dan orang ramai yang hadir ke Masjid At-Taqwa.
Sumber dari : Jiwa Bakti