OGOS 2020

Peruntukan RM30 Juta Naik Taraf Pusat Hidupan Liar Semenggoh


KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan lebih RM30 juta bagi menaik taraf infrastruktur Pusat Hidupan Liar Semenggoh, di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, fokus kerajaan untuk membangunkan infrastruktur pusat ini yang menerima sejuta pelawat dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

"Kerja-kerja menaik taraf terbahagi kepada tiga bahagian iaitu pintu masuk utama, pembinaan pusat penyelidikan botani dan laluan untuk melihat hidupan liar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meletakkan batu asas Pusat Lindungan Hutan Hujan Semenggoh dan melancarkan rangkaian internet di Pusat Hidupan Liar Semenggoh di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, kerja-kerja itu juga merangkumi kajian dan pembangunan serta membina laluan kayu bagi memudahkan pelancong warga emas menyaksikan habitat Orang Utan.

Beliau yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, selain Semenggoh, Kerajaan Sarawak akan menaik taraf Gua Niah, Taman Negara Bako, Taman Negara Lambir dan Gunung Buda di belakang Mulu.

Katanya, Gunung Buda juga dapat diakses dari Limbang.

"Sehubungan itu, kita akan bina jalan raya di kawasan berkenaan yang membolehkan pelawat keluar di Mulu," jelasnya.

Kerja-kerja menaik taraf khazanah biodiversiti ini mengambil masa lima tahun untuk dilaksanakan bermula tahun ini.

"Di samping itu, kerja-kerja menaik taraf tidak akan menjejaskan alam semula jadi apabila berlandaskan sumber asli seperti kayu yang menggantikan simen untuk membuat laluan," katanya lagi.

Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) menerima sumbangan masing-masing RM50,000 daripada Perbadanan Kemajuan Industri Perkayuan Sarawak (STIDC) dan Persatuan Kayu-kayan Sarawak (STA) untuk memulihara Orang Utan sempena sambutan Hari Orang Utan Sedunia pada 19 Ogos setiap tahun.

Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Kaunselor Lo Khere Chiang serta Ketua Pegawai Eksekutif SFC Zolkipli Mohamad.

Sumber dari : Jiwa Bakti