JUN 2020

Peruntukan RM350 Juta Bina Fasa Ketiga Sekolah Daif Di Sarawak


KUCHING: Kerajaan akan menyelesaikan isu-isu berbangkit mengenai pembinaan sekolah daif sekaligus mencari kaedah untuk mempercepatkan pelaksanaan projek tersebut, di negeri ini.

Menteri Kanan Infrastruktur- Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya telah membuat lawatan dan berbincang bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak untuk mengenalpasti isu berbangkit dalam melaksanakan pembinaan sekolah daif melibatkan hubungan di peringkat kementerian, agensi dan juga kerajaan negeri.

“Pembinaan sekolah ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada murid, tetapi memberi keutamaan kepada pendidik termasuk keselesaan bangunan pentadbiran, asrama dan kuarters guru di sekolah,” katanya semasa sidang media selepas mendengar taklimat daripada JKR berhubung status terkini projek pelaksanaan sekolah daif, di pejabat JKR, di sini hari ini.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen P.194 Petra Jaya berkata, peruntukan pembinaan sekolah ini mempunyai dua peruntukan iaitu, peruntukan pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan dan peruntukan khas melalui rundingan kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, dalam peruntukan pembangunan, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan berjumlah RM509.9 juta untuk membina sekolah bagi tahun 2017 dan 2018, di Sarawak.

“Daripada jumlah tersebut, pada tahun 2017, sebanyak 30 sekolah telah dibina membabitkan kos RM93.3 juta, manakala pada tahun 2018, sebanyak 116 sekolah dibina membabitkan jumlah RM416.6 juta,” katanya sambil menambah, projek pembinaan sekolah pada tahun tersebut telahpun siap.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, pada tahun 2019, Sarawak turut mendapat peruntukan berjumlah RM100 juta untuk membina 32 sekolah.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 18 sekolah telah siap, 12 sekolah masih dalam pembinaan manakala dua lagi pembinaan sekolah masih dalam proses tender.

Menurutnya, bagi tahun 2020, Sarawak tidak mempunyai peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk pembinaan sekolah.

Sehubungan itu, katanya, Sarawak menggunakan peruntukan melalui rundingan dengan Kerajaan Pusat yang berjumlah RM1 billion yang dikhususkan untuk menyelesaikan masalah sekolah-sekolah daif di Sarawak untuk tahun tersebut.

“Setakat ini, Sarawak telah membayar RM700 juta kepada Kerajaan Persekutuan. Daripada jumlah tersebut, RM350 juta digunakan untuk pembinaan fasa pertama bagi 41 sekolah di Sarawak,” katanya sambil menambah, 52 sekolah untuk pembinaan fasa kedua masih dalam proses pra-tender yang membabitkan jumlah RM350 juta.

“Bagi fasa ketiga, pembinaan sekolah sedang dimuktamadkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pembinaan fasa ketiga ini turut membabitkan jumlah RM350 juta daripada peruntukan RM1 billion tersebut,” katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti