NOVEMBER 2019

Peruntukan RTP RM1.5 juta laksana projek kampung, rumah panjang


BINTANGOR: Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi melaksanakan pelbagai projek kampung dan rumah panjang di kawasan Muara Lebaan, Bukit Papit, Teluk Bulat dan Teluk Batu yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Daro.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, tiga daripada projek itu sedang dilaksanakan manakala selebihnya akan bermula selepas selesai penyediaan spesifikasi oleh agensi pelaksanaan.

Katanya, projek terbabit ialah pembinaan sebuah Dewan Masyarakat yang menelan belanja RM350,000, pembinaan jalan untuk Rumah, Bigol, Jackson, Tinggong dan Petrus Anis yang masing-masing bernilai RM200,000.

“Projek yang sedang dalam pelaksanaan ialah pembinaan jambatan di Kampung Lebaan, jalan raya Rumah Rentap, Boniface dan Petrus Anis,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di sini, hari ini.

Beliau berkata, projek lain yang turut dilaksanakan ialah pembinaan jalan konkrit, menaik taraf sistem perparitan, jeti dan menaik taraf jalan kampung.

Setakat ini katanya, pelaksanaan projek RTP di kawasan DUN N.43 Daro berjalan lancar sekali gus memberi manfaat dan keselesaan kepada masyarakat setempat.

“Saya gembira kerana kunjungan kali ini membuahkan hasil yang begitu positif terutama daripada sudut kerjasama pemimpin setempat.

“Malah kita berjaya mencapai kata sepakat dalam beberapa aspek termasuk persetujuan tuai rumah untuk membina jalan raya ke rumah panjang mereka. Projek ini bukan sahaja akan memudahkan urusan harian penduduk tetapi juga memberi manfaat besar dalam tempoh jangka panjang,” katanya.