OGOS 2020

Prihatin Demi Kesejahteraan Rakyat


SRI AMAN: Kerajaan Sarawak sentiasa prihatin, mendengar, mengambil berat dan menyampaikan kehendak rakyat, di seluruh negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sesuai dengan tema sambutan Hari Kebangsaan iaitu 'Malaysia Prihatin' kerana Sarawak mengamalkan konsep prihatin terhadap kesejahteraan rakyat.

"Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, kita sentiasa memikirkan cara untuk meneruskan usaha bagi memajukan negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2020, di Dewan Suarah Simanggang, di sini hari ini.

Majlis itu hadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib sambil diiringi Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Abdul Karim yang juga menteri bertanggungjawab Sambutan Hari Kebangsaan berkata, tanpa adanya sokongan rakyat terhadap kerajaan, sudah pasti apa yang dikehendaki tidak tercapai.

"Seperti sambutan ini, sekiranya tidak ada kerjasama antara agensi kerajaan, swasta dan orang ramai, sudah tentu ia tidak dapat dianjurkan dengan jayanya," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua pihak harus bekerjasama untuk membina keamanan, perpaduan dan kemajuan bagi negeri Sarawak ini.

Dalam pada itu, generasi muda dan belia juga harus memainkan peranan penting kerana mereka merupakan pengganti kepada barisan pemimpin yang ada sekarang.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah dan ahli kenamaan yang lain.

Sumber dari : Jiwa Bakti